Dewan Pemuda PAS Pusat bakal mencatatkan satu lagi sejarah penting, apabila satu himpunan besar akan diadakan bagi mengumpulkan para pemuda PAS di seluruh negara. Himpunan ini sebagai persediaan awal pemuda berhadapan dengan pilihan raya Umum ke-13 yang semakin hampir. Perhimpunan ini merupakan perhimpunan kali ke-3 selepas perhimpunan pertama di Markas Tarbiyyah PAS di Taman Melewar pada tahun 2002 yang mengumpulkan seramai 5 ribu Pemuda PAS dan Himpunan kali kedua di Kota Bharu, Kelantan yang berjaya mengumpulkan 15 ribu Pemuda PAS dari seluruh negara.
Dengan bertemakan "Masa Untuk Berubah" himpunan bersejarah 30 000 pemuda ini akan diadakan pada 19 Februari 2011 (Sabtu) bersamaan 16 Rabiulawal 1432 Hijriah bertempat di Kota Sarang Semut, Kedah Darul Aman.
Ia akan berlangsung selama sehari bermula jam 8.00 pagi sehingga 6.30 petang. Perasmian akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Ust Azizan bin Abd Razak, dan ditutup oleh Timbalan Presiden PAS, YB Ust Nasharudin Mat Isa. Mantan pimpinan Pemuda PAS Pusat seperti Ustaz Abu Bakar bin Chik, Tuan Haji Mohamad bin Sabu, YB Tn Hj Mahfuz Omar, YB Hj salahuddin Ayub dan lain-lain akan turut bersama meraikan program ini.
Pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan motosikal, klinik bola sepak, dan pameran pemuda juga bakal diadakan dalam program itu. Satu perlawanan bola sepak yang akan menemukan pimpinan Dewan Pemuda PAS dengan bekas pemain Bola sepak Kebangsaan akan diadakan pada sebelah petang.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
SetiausahaDewan Pemuda PAS Pusat
Pengarah Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS