BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 22, 2010

Gangguan bekalan air di Pulau Pinang 28 disember ini


GEORGE TOWN: Hampir 80 peratus kawasan di Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air antara 12 dan 24 jam pada 28 Disember ini, melibatkan kira-kira 1.3 juta penduduk negeri itu.

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir Jaseni Maidinsa berkata dua kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam ialah Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar manakala seluruh kawasan Seberang Perai, George Town, Farlim, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Batu Maung akan mengalami gangguan selama 12 jam.
Katanya kawasan Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terlibat dan akan menerima bekalan air seperti biasa.

“Gangguan yang melibatkan kira-kira 80 peratus penduduk negeri ini berikutan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Dua, Seberang Perai dan Stesen Pam Bukit Dumbar di bahagian Pulau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata gangguan bekalan air itu bermula pada jam 7 pagi, 28 Disember dan akan pulih sepenuhnya pada jam 7 malam di kebanyakan kawasan manakala kawasan yang mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam dijangka pulih pada jam 7 pagi, keesokannya.
“Kita perlu melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Dua yang merawat 80 peratus air untuk seluruh Pulau Pinang,” katanya.
Jaseni berkata pada masa yang sama PBAPP akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik dan mekanikal berkala di Stesen Pam Bukit Dumbar dan juga penyambungan paip utama di Simpang Jalan Sungai Dua, Jalan Pekan Darat dan Jalan Bukit Tengah untuk projek landasan kereta api berkembar.
“Kita akan menurunkan kira-kira 300 pekerja pada hari berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata PBAPP merujuk kepada kerajaan negeri dan memaklumkan kepada pihak industri mengenai gangguan berkenaan.
Beliau turut menasihati penduduk Pulau Pinang supaya menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan selama 24 jam.
Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air itu dapat diperoleh menerusiPusat Panggilan 24-jam PBAPP di talian 04-5096509. -Bernama
Sumber : Harian Metro